Surat Pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla
Surat pengesahan nikah dari Konsulat Malaysia di Songkhla akan diperlukan untuk pendaftaran nikah di Malaysia. Selain itu, jika belum mendaftar dan disoal oleh Pegawai Pencegah Maksiat di Malaysia, mereka juga akan meminta surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla.
PERHATIAN: Konsulat ditutup pada hari Sabtu, Ahad dan hari cuti am Malaysia dan Thailand. Surat Konsulat hanya boleh dipohon sebelum 12pm pada hari bekerja dan dikeluarkan di sebelah petang sehari selepas permohonan dibuat. Hanya pasangan sendiri saja yang boleh mengambil surat Konsulat dari kaunter di Konsulat Malaysia di Songkhla.
Ambilkira fakta ini dalam merancang perjalanan ke Siam.
Cara Memohon Surat Pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla
Konsulat Malaysia di Songkhla mensyaratkan bahawa surat pengesahan nikah hanya boleh diambil oleh salah seorang di antara pasangan yang bernikah sahaja. Sehubungan itu, Konsulat memerlukan, dari pengantin yang memohon surat pengesahan Konsulat, salinan pasportnya dengan cop imigresen Thailand pada masa memohon surat Konsulat, kecuali memohon surat Konsulat dalam tempoh kurang dari sebulan selepas tarikh nikah.
Maksudnya, kalau nikah dalam bulan Januari tahun 2014 tetapi cuma memohon surat Konsulat dalam bulan Mei tahun 2014, maka salinan pasport bila masuk ke Thailand dalam bulan Mei itu perlu disertakan. Salinan pasport untuk bulan Januari pun diperlukan juga.
Permohonan surat pengesahan Konsulat tidak memerlukan apa-apa dokumen atau kebenaran dari Pejabat Agama atau mahkamah di Malaysia. Dokumen yang diperlukan cuma seperti berikut (mana yang berkenaan).
- Salinan kad pengenalan kedua-dua pengantin
- Salinan pasport dengan cop Imigresen Thailand masa masuk ke Thailand untuk nikah ((lihat catatan di bawah)
- Salinan pasport dengan cop Imigresen Thailand masa masuk ke Thailand untuk memohon surat Konsulat
- Surat nikah yang asal dan salinan surat nikah
- Surat pengesahan nikah dari Majlis Agama Islam di mana pernikahan berlangsung. Tarikh surat ini tak boleh lebih dari 12 bulan sebelum memohon surat Konsulat. Kalau tarikh surat pengesahan nikah itu lebih dari 12 bulan dari tarikh memohon surat Konsulat, pergi semula ke Majlis Agama Islam di selatan Thailand di mana pernikahan berlangsung dan dapatkan surat pengesahan nikah dengan tarikh baru (tarikh surat nikah perlu baru, tapi tarikh nikah masih yang lama). Lihat contoh berikut:

- Surat cerai yang telah dicop oleh Majlis Agama tempat nikah, jika berkenaan
- Surat kematian suami yang telah dicop oleh Majlis Agama tempat nikah, jika berkenaan
- Salinan surat mualaf, jika berkenaan
AWAS SURAT KONSULAT PALSU!!
Ada beberapa agen yang menawarkan untuk mengambil surat Konsulat tanpa salah seorang pasangan pengantin pergi bersama, tapi mereka sebenarnya mengeluarkan surat pengesahan Konsulat yang palsu.
Golongan yang mengeluarkan surat pengesahan palsu ini tidak memerlukan salinan pasport pemohon yang membuktikan bahawa pemohon berada di Thailand pada masa permohonan dibuat.
Berhati-hati dengan mereka, untuk mengelak diberikan surat Konsulat palsu. Ini bukan tuduhan tanpa bukti. Peristiwa berikut benar-benar telah berlaku kepada kami:
Baru-baru ini, seorang wanita yang nikah di Majlis Agama Islam Songkhla beberapa tahun lalu telah menggunakan khidmat seorang agen untuk mendapatkan surat pengesahan Konsulat dengan cara yang disebutkan di atas. Tak perlu pergi ke Thailand dan tak perlu kemukakan salinan pasport dengan cop imigresen Thailand masa mengambil surat Konsulat.
Bila dah dapat dokumen itu, wanita itu mendapati ada kesilapan pada kandungan surat itu. Dia telah meminta agen berkenaan untuk membawa surat itu balik ke Konsulat untuk pembetulan, tapi agen meminta bayaran tambahan yang agak banyak. Wanita itu kemudiannya meminta bantuan kami, dan kami setuju membantu.
Kami dapati bahawa surat yang diserahkan kepada kami itu betul-betul macam surat pengesahan Konsulat yang lain. Tak ada kecacatan langsung. Tapi, bila kami bawa ke Konsulat, kami telah diberitahu bahawa surat itu adalah palsu.
Ikutlah prosedur yang betul. Jangan gunakan agen yang tak mengikut peraturan.
Catatan
Bagi pasangan yang salah seorang atau kedua-duanya sekali masuk ke Thailand tanpa pasport atau pas sempadan, kemudian nikah di sana, pergi dulu ke Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) di Putrajaya, buat surat sumpah dan dapatkan izin Wisma Putra sebelum pergi ke Konsulat Malaysia di Songkhla. Konsulat tak akan mengeluarkan surat pengesahan nikah tanpa kebenaran dari Wisma Putra dalam kes begini.
|